Perkongsian Ilmu

Kaedah Pengajaran yang Terbaik 

Dewasa ini, pengajaran di sekolah benar-benar merupakan satu cabaran yang sangat besar memandangkan murid atau pelajar pada hari ini sudah terlalu didedahkan dengan kemajuan teknologi maklumat yang menyimpan limpahan ilmu. Justeru, murid dan pelajar sememangnya sudah memiliki ilmu pengetahuan. Perkara yang mencabar ialah bagaimanakah para pendidik mahu menterbalikkan ilmu pengetahuan tersebut menjadi satu kemahiran dan kepakaran dalam diri pelajar dan bagaimanakah para pendidik harus menaik taraf gaya dan corak pemikiran murid atau pelajar daripada fasa yang biasa kepada fasa yang luar biasa? 

Saya juga merupakan seorang pendidik. Justeru, saya juga sering mencari kelainan-kelainan kaedah pengajaran agar boleh saya aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya tertarik satu perkongsian pengajaran pakar dalam sebuah buku yang bertajuk, "Expert Teaching" yang ditulis oleh Rosie Turner-Bisset. Penulis telah mengongsikan satu kaedah pengajaran daripada seorang guru yang mengajar di England. Penulis cuma menamakan guru tersebut sebagai Encik David. Justeru, saya kongsikan di sini. Manalah tahu ada pembaca yang sudi singgah bertandang di sini. Walaupun seorang pembaca sahaja namun ilmu itu sudah tersebar. 

David mengajar kelas Tahun 4 yang mempunyai 28 orang pelajar. Kebanyakan pelajar ini menghadapi kesukaran membaca dan terdapat dua orang pembantu bilik darjah yang bertugas sepenuh masa untuk membantu dalam kelas membaca. David meletakkan kepingan lut sinar overhed yang menunjukkan gambar perahu layar orang Rom di atas projektor. Perhatian kanak-kanak serta-merta tertumpu kepada imej yang terpapar pada dinding bilik darjah. 

David memulakan pengajaran dengan mengemukakan dua soalan. 
1. Apakah kaitan orang Rom dengan orang Celt?
2. Apakah yang hendak dilakukan oleh Julius Caesar?
David memberitahu pelajar bahawa gambar tersebut merupakan kunci kepada jawapan. Gambar itu merupakan gambar kapal layar Rom pada tahun 55SM, trireme, dan kapal itu digunakan untuk tujuan tertentu. Seorang kanak-kanak mengangkat tangan dan menjawab, "Kapal perang." Berikut ialah sebahagian daripada perbualan David dan pelajar-pelajarnya.

David :
Selepas ini kita akan melukis gambar kapal ini di padang permainan? Apakah fungsi pelantar di bahagian hadapan kapal itu?
Murid:
Kayu itu digunakan untuk meradak kapal musuh.
David :
Ya, betul. (Sambil menggayakan) Kayu itu digunakan untuk meradak kapal musuh. Kapal ini sangat laju. Apakah yang menggerakkannya? Bagaimanakah kapal ini bergerak? Kapal yang ada pada hari ini mempunyai enjin.
Murid:
Benda yang ada di tepi kapal itu. Dayung!
David :
Dua orang mengendalikan setiap dayung. Kalau kita jahat, kita terpaksa bekerja di atas kapal ini.
Murid:
Hamba.
David :
Ya, hamba. Berapa ramaikah hamba yang diperlukan untuk mengendalikan 24 dayung?
Murid:
48 orang hamba.
David :
Betul. Itu hanya untuk sebelah kapal. Bahagian yang sebelah lagi juga memerlukan bilangan yang sama. Berapa ramai semuanya?
Murid:
92 orang hamba.
David :
Salah. Lebih ramai daripada itu.
Murid:
96 orang hamba.
David :
Semuanya bergerak ke arah yang sama?
Murid:
Ya.
David :
Mereka perlu bergerak serentak. Apakah yang terjadi jika satu sisi bergerak lebih pantas daripada sisi yang satu lagi?
Murid:
Kapal itu akan melencong ke satu arah.
David :
Bagaimanakah caranya untuk mereka mendayung serentak?
Murid:
Ada seorang yang memberi arahan.
David :
Bolehkah mereka melarikan diri?
Murid:
Leher mereka dirantai.
David :
Kalau kapal tenggelam, siapakah yang akan mati dulu?
Murid:
Hamba!
David :
Mereka ada cara untuk bergerak serentak.


Pada waktu itu juga David mengeluarkan gendang besar dari dalam almari dan memalunya. David menerangkan bahawa hamba-hamba tersebut tidak mahu berada di kapal tersebut. Dia memukul gendang dan sambil memegang cemeti. Dia melakonkan aksi memalu gendang dan memukul cemeti. Murid-murid mengelak daripada terkena. Murid-murid ketawa. 

Dalam kaedah ini, David berjaya memuatkan murid-muridnya bercerita tentang bagaimana mereka mendayung di laut yang tenang ketika perjalanan masih jauh, dan apa yang perlu dilakukan oleh mereka sekiranya mereka melihat kapal musuh. Murid-murid itu membuktikan mereka tahu bahawa kelajuan kapal perlu diubah mengikut keadaan. 

David melakarkan garis bentuk kapal pada papan tulis, sambil memberitahu mereka kapal itu direka supaya bentuknya panjang dan dapat bergerak pantas. Dia menyoal murid-muridnya sebab paku yang digunakan panjang dan nipis. David menanyakan muridnya panjang kapal itu menurut jangkaan mereka, mengimbas kembali tajuk tentang ukuran. Seorang pelajar menganggarkan lima meter. David mengangkat sebatang kayu berukuran satu meter dan bertanya sama ada kapal itu lebih panjang daripada batang kayu itu. 

David menggunakan pelajar sebagai sukarelawan, mengukur satu per tiga daripada bahagian kapal itu. Dia menjarakkan seramai 12 orang pelajar pada sebelah dinding bilik darjah, dan mengukur garisan dengan menggunakan kayu pembaris itu. Panjangnya empat meter. Dia menyoal pelajar jika itu ialah satu pertiga maka berpa panjangkah kapal itu? Jawapan yang diperoleh ialah 12 meter. David memberi idea lain iaitu setiap seorang memerlukan jarak satu meter untuk keselesaan mendayung. Pelajar mengira bagawa 12 orang memerlukan 24 meter. Menurutnya, panjang kapal itu mungkin berukuran antara 12 hingga 24 meter. Soalan berikutnya ialah tentang lebar kapal itu. David menggunakan gambar pada papan tulis itu untuk menunjukkan ada laluan selebar satu meter di tengah-tengah kapal  dan mencadangkan laluan itu selebar satu meter dengan tiga meter di sebelah kiri dan di sebelah kanan.

David mengajak pelajarnya turun ke padang untuk membuat lakaran. Sebelum itu, David mengingatkan bahawa cuaca di Gaul agak panas dan orang Rom terperanjat dengan suhu tersebut. Dalam perancangan pengajaran, masa untuk pembelajaran bahagian ini ialah 30 minit. Di padang, David melukis menggunakan kapur dan kayu pengukur sebagai penanda, panjang kapal itu kira-kira 65 meter. Dia melukis kapal itu selebar tujuh meter dan memilih beberapa orang kanak-kanak untuk berdiri di atas garisan kapur yang dilakarnya itu. Dia mengatur kanak-kanak lelaki dan perempuan berselang-seli di sebelah kiri dan kanan, dan melukis kayu radak di laluan yang tajam itu. 

Selepas itu, David memberitahu pelajarnya bahawa mereka mahu menyerang dan memerlukan pukulan gendang yang pentas. Mereka mendayung bersama-sama. Pelajar-pelajarnya melakonkan perbuatan mendayung. David menyerahkan peranan orang yang memegang cemeti kepada pembantu bilik darjah. David menyuruh seorang pelajar perempuan berlakon sebagai Julian Caesar dan menyuruhnya menjerit "Mara ke Britain!".

David :
Kita sedang menghampiri Britain. Air cetek, bergeraklah perlahan-lahan dan berhenti. Biarkan kapal bergerak sendiri. Kita dapat mendengar bunyi sahutan perang dari pantai sana…dan sekarang kamu fikir “Tidak! Kami tidak mahu menjadi hamba lagi!” Kami mahu menjadi askar. Bersatulah! (Semua pelajar bergerak ke bahagian tengah kapal khayalan tersebut)
David :
Diam! Kamu kini askar Rom yang penuh dengan disiplin. Hamba abdi sekarang di bawah kamu. Kamu dapat mendengar bala tentera Celt dan kamu sangat takut. Kamu bersedia untuk berperang.  Robert ialah pembawa panji. Dia berfikir sekiranya saya pergi, mereka akan turut serta. Julius Caesar, beritahu mereka supaya pergi.

Pembawa panji melompat keluar dari kapal ke dalam air. Pelajar-pelajar lain mengikutnya dan meluru ke pantai. Mereka berpura-pura berperang. Kayu pengukur jadi pedang imaginasi mereka. Selepas beberapa minit, David mengarahkan pelajar-pelajarnya balik ke kapal. 

Sekembalinya mereka ke bilik darjah, David menugaskan pelajar-pelajarnya menulis berita halaman hadapan akhbar tentang serangan itu. David memberitahu bahawa surat khabar belum wujud pada zaman Rom, ini hanya untuk suka-suka sahaja. Dia menunjukkan berita yang telah disediakannya terlebih dahulu dan meminta pelajar-pelajarnya memberikan tajuk yang sesuai. Contoh yang diberikannya, "Tertewasnya Orang Celt" disukai oleh pelajar yang kemudiannya mencadangkan tajuk "Kita Pejuang Rom". 

ULASAN PENULIS BUKU
Penulis menganggap cara David sebagai satu kaedah pengajaran yang baik kerana cara tersebut menyeronokkan, menarik, menghiburkan, penuh kepelbagaian dan sangat sesuai. Penulis berasa kagum dengan rasa normal yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar bermasalah ini kepada guru mereka. Sejak kelas dimulakan, suasana penuh gembira dan keazaman dapat dirasai. Pastinya ia berkaitan dengan pelajaran tentang kedatangan Rom ke Britain, dan diikuti oleh pelajaran sebelumnya tentang orang Celt.

Pengajaran ini tidak mengikut kaedah biasa. David tidak memberitahu mereka apa yang hendak diajarnya. Sebaliknya, dia memasang projektor dan menarik minat mereka. Apabila pelajar kelihatan berminat, David menyoal mereka. Dalam sesi soal jawab yang mendorong pelajar berfikir itu, setiap soalan sesuai dengan keupayaan pelajr. 

Dalam hal ini, minat pelajar perlu dikekalkan sepanjang masa. Pelajaran itu berlangsung selama sejam dan sepanjang masa itu, pelajar-pelajar terlibar dalam beberapa tugas. Bagi pelajar-pelajar ini, pengalaman berlakon ialah satu kenyataan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan